Suspek kes curi telefon bimbit ditahan

Suspek (tiga dari kiri) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 10 Okt: Tindakan seorang lelaki mencuri telefon bimbit milik bekas rakan sekerjanya yang baru dibeli seminggu membawa padah apabila dia ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Kerugian dianggarkan sebanyak RM600.

Advertisement

Difahamkan, suspek berusia 23 tahun itu kantoi setelah dilihat menggunakan telefon bimbit menyerupai telefon milik mangsa ketika datang mengambil gaji terakhirnya di sebuah ladang kelapa sawit di sini pada hujung bulan lepas.

Insiden dilaporkan berlaku pada 30 September sekitar jam 11 pagi sebaik sahaja mangsa selesai makan di dewan.

Sejurus sampai ke biliknya, mangsa mendapati telefon bimbit miliknya yang diletakan di atas meja telah hilang disyaki dicuri.

Susulan laporan polis daripada mangsa berusia 53 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan suspek sekitar jam 9.25 malam pada Jumaat (8 Okt) untuk tindakan lanjut.

Suspek ditahan di sebuah pondok di Batu Niah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan penahanan suspek ketika dihubungi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily

Advertisement