Suspek kes bunuh dibawa ke lokasi pembunuhan bagi bantu siasatan lanjut

Suspek dibawa ke lokasi kes bunuh seorang wanita untuk siasatan lanjut.

SIBU, Ogos 9: Suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita di Jalan Tiong Hua di sini pada Ogos 2 lepas telah dibawa ke lokasi kejadian berdarah di situ hari ini.

Suspek, 42, yang diiringi ketat pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu dibawa ke lokasi pembunuhan itu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek utama yang juga seorang pemandu lori itu telah diminta melakonkan semula bagaimana dia masuk ke dalam bilik sewa mangsa dan melakukan jenayah tersebut.


Katanya, adegan semula itu penting bagi membantu pihak polis menyiasat kes itu secara menyeluruh.

“Kita (polis) hendak tahu bagaimana suspek melakukan jenayah tersebut hingga mengakibatkan mangsa yang juga seorang penjawat awam mati.

“Selain itu, suspek juga dibawa ke tempat di mana dia dipercayai menjual telefon bimbit dan rantai milik mangsa tersebut,” katanya hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan, mangsa, Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, dijumpai mati dengan keadaan tangan dan kakinya diikat pada tepi katil di dalam bilik sewa berkenaan.

Mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 3 petang oleh rakan-rakan sekerjanya yang pergi ke bilik sewa mangsa selepas mangsa gagal dihubungi dan dikesan tidak turun bekerja.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — DayakDaily