Remaja lelaki maut, motosikal rempuh belakang Toyota Hilux

Kelihatan keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan Toyota Hilux di Jalan Simpang Rumah Panjang Awin Seloi, Bekenu.

MIRI, Ogos 9: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh belakang sebuah Toyota Hilux dalam kemalangan di Jalan Simpang Rumah Panjang Awin Seloi, Bekenu di sini lewat semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa, Steven Kelling Damu, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal motosikal Yamaha dikatakan dari arah simpang Bekenu.

Bagaimanapun katanya, tindakan remaja yang menunggang motosikal dengan laju telah mengakibatkan dia gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh belakang Toyota Hilux yang bergerak di laluan sama.

“Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah.

“Pemandu Toyota Hilux yang berusia 64 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson menambah, tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut.

Katanya, pihak polis sudah membawa kedua-dua kenderaan ke balai polis untuk pemeriksaan Puspakom.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily