KOTA SAMARAHAN, Feb 10: Mahkamah Majistret di sini hari ini telah meluluskan permohonan reman selama tujuh hari ke atas suspek yang disyaki membunuh isterinya di Kampung Bedup Longgok, Serian di sini petang semalam.
Permohonan reman ke atas suspek mulai Feb 11 hingga 17 ini telah diluluskan oleh Majistret Dayang Roselind Awang Mahdini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
DayakDaily semalam melaporkan seorang surirumah warga Indonesia ditemui mati dipercayai akibat dibunuh di sebuah rumah di Kampung Bedup, Longgok di sini.
Mangsa yang berusia 36 tahun ditemui mati oleh suaminya yang merupakan rakyat tempatan kira-kira pukul pukul 1.35 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suami mangsa yang berusia 35 tahun mendakwa telah menemui mayat isteri dia dalam keadaan lehernya dikelar.
Katanya, semasa kejadian, lelaki itu mendakwa dia tidak berada di rumah kerana ke sekolah untuk mengambil anak perempuan mereka yang berusia lapan tahun.
“Dakwa lelaki itu, sejurus tiba di rumah mereka, dia telah menemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah dengan ada kesan kelar di lehernya.
“Polis kemudian menahan suami mangsa untuk membantu siasatan lanjut,” katanya lagi. — DayakDaily