Suspek dipercayai miliki pistol diburu polis

Suspek yang diburu.

KUCHING, 10 Mei: Polis buru seorang lelaki dipercayai memiliki sepucuk pistol berkaitan kes rompak sebuah premis di Jambusan, Bau pada 5 Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dikenali sebagai Houstin Bilong Usat.

Katanya, suspek telah melarikan diri selepas melakukan rompakan tersebut.


“Pihak Polis DiRaja Malaysia Sarawak menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk menyalurkan maklumat tersebut.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terkesan saspek ini kerana dianggap bahaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maklumat boleh disalurkan dengan terus berhubung Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bau, ASP Francis Boniface Barau di talian 012-7100711 atau Balai Polis Bau di talian 082-763311.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang tidak benar berkaitan kes ini,” katanya. — DayakDaily