Surirumah dipaksa bayar balik RM8,600 gara-gara pinjam RM300

Rumah mangsa yang disimbah dengan cat merah

PADAWAN, 26 Sept: Gara-gara terdesak dan meminjam RM300 daripada pemberi pinjaman wang yang disyaki tidak berlesen menyebabkan seorang surirumah terpaksa membayar RM8,600.

Lebih malang lagi apabila wanita berusia lewat 20an itu terus diganggu kerana didakwa belum melangsaikan hutang tersebut.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata mangsa yang berasal dari Matang itu kemudian terpaksa membuat laporan polis apabila suspek bertindak memecahkan cermin, menyimbah cat merah dan mengunci pagar rumah mangsa.

“Mangsa mendakwa pada 13 September lepas iaitu sekitar jam 11.30 malam, cermin rumahnya telah dipecahkan dan juga disimbah dengan cat merah serta pagar rumahnya dikunci.

“Dia mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh pihak pemberi pinjaman wang kerana dia ada membuat pinjaman melalui Facebook sebanyak RM300, namun kini dia tidak lagi mampu membayar balik kerana diminta membayar sehingga RM8,600,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut kes disiasat di bawah Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

“Orang awam dinasihatkan tidak membuat pinjaman secara ‘online’ melalui Facebook kerana pemberi pinjam wang ini kebanyakannya tidak berlesen.

“Jika ini membuat pinjaman, disarankan untuk pergi ke bank atau pemberi pinjaman wang berlesen,” katanya. — DayakDaily