Suri rumah rugi RM3,000 akibat ditipu ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, Jan 14: Seorang suri rumah terpaksa berputih mata apabila kerugian RM3,000 akibat ditipu sindiket ‘Macau scam’.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Januari 10 lepas, namun laporan polis berhubung kes berkenaan hanya dibuat semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa berusia 28 tahun dikatakan telah menerima panggilan telefon daripada 069564800 memperkenalkan diri Sarjan Yusrizal dari Bahagian Siasatan Jenayah Muar, Johor.

Katanya, suspek kemudian mengatakan mangsa telah terlibat dengan kesalahan langgar lari menggunakan sebuah kenderaan, di mana pemilik kenderaan itu memberitahu mangsa yang menyewa kenderaan dan semua butiran diri mangsa ada pada mereka.

“Selepas itu mangsa telah dihubungi oleh seorang perempuan memperkenalkan diri sebagai Inspektor Fazura (0109053224) yang mengatakan mangsa ada terlibat di dalam kes pengubahan wang haram menggunakan akaun sebuah bank sebanyak RM2.28 juta.

“Perempuan itu kemudian meminta mangsa untuk memasukkan wang sebanyak RM3,000 ke satu akaun pada akaun bagi tujuan ikat jamin,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, pada hari yang sama mangsa telah membuat transaksi pemindahan wang sebanyak RM3,000 ke akaun yang diberikan perempuan itu.

Jelasnya, selepas transaksi pemindahan wang berkenaan, mangsa kemudian menyedari telah ditipu oleh suspek berkenaan.

“Mangsa kemudian menghubungi nombor yang digunakan suspek, namun tidak dijawab suspek sama.

“Mangsa seterusnya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya. — DayakDaily