Suri rumah lesap RM40,000 ditipu kekasih Facebook

Facebook and social media. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

BINTULU, Okt 24: Seorang suri rumah berputih mata selepas kerugian wang sebanyak RM40,000 akibat ditipu sindiket penipuan bungkusan atau ‘parcel scam’.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku antara Oktober 8 hingga 23.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa yang berusia 43 tahun itu dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki kononnya dari United Kingdom menerusi laman sosial Facebook.

Katanya, lelaki yang berkenalan dengan mangsa menyamar dengan menggunakan nama sebagai Omar Ahmad.

“Setelah lama berkenalan dan berhubung melalui Facebook, suspek kemudian mengatakan mahu mengirimkan sesuatu kononnya bungkusan hadiah kepada mangsa sebagai tanda persahabatan.

“Pada Oktober 15 lepas, mangsa seterusnya dihubungi oleh seorang perempuan bernama Meratah Yambas menggunakan talian 016-2554787 kononnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mengatakan mereka menerima bungkusan di atas nama mangsa dan menyuruh mangsa membuat bayaran sebanyak RM4,500 sebagai kos penghantaran bungkusan tersebut ke Bintulu,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, tanpa ragu-ragu, mangsa membuat bayaran ke akaun CIMB atas nama Meratah Yambas.

Katanya, pada hari yang sama membuat bayaran sekali lagi sebanyak RM18,500 ke akaun bank yang sama kerana suspek mengatakan di dalam bungkusan tersebut mengandungi duit sebanyak GBP£25,000 dan perlu dibawa ke Bank Negara untuk pertukaran.

“Seterusnya, mangsa melakukan transaksi pembayaran sebanyak RM17,000 ke akaun Maybank penama Sharala A/P Narayana untuk proses tersebut.

“Manakala pada Oktober 20 lepas mangsa telah memasukkan lagi wang sebanyak RM5,030 ke akaun Maybank penama Surianti Tasib untuk menutup kes dengan pihak polis supaya kes tersebut tidak disiasat,” ujarnya.

Mustafa memberitahu, kali terakhir membuat pembayaran pada Oktober 23 dengan suspek meminta sebanyak RM5,000.

Bagaimanapun katanya, mangsa mengatakan tiada lagi wang dan suspek memberikan tempoh sehingga Oktober 29 depan untuk membuat pembayaran.

“Mangsa mula sedar telah tertipu dengan helah suspek selepas menerima panggilan daripada pihak lapangan terbang yang melarang mangsa berurusan dengan suspek kerana ianya satu kes penipuan.

“Wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily