Suri rumah kerugian RM15,000 ditipu ‘Macau scam’

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, April 26: Seorang suri rumah kerugian RM15,000 selepas terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa yang berusia 41 tahun itu telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki kononnya pegawai kastam.

Katanya, suspek kemudian mengatakan mangsa ada tunggakan GST sebanyak RM50,000.

“Mangsa yang panik kemudian mengikut arahan suspek sebelum panggilan itu disambung kepada polis di Pulau Pinang.

“Suspek seterusnya mengatakan mangsa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram sebanyak RM150,000 melalui akaun banknya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini disiasat.

Mustafa Kamal menambah, bagi menyelesaikan kes berkenaan, mangsa dikehendaki mengikut arahan dengan memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.

Katanya, ia kononnya untuk suspek menyemak wang tersebut dan akan memasukkan semula wang tersebut ke dalam akaun mangsa dalam masa dua jam.

“Pada hari sama, mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM15,000 ke dalam akaun bank yang telah diberikan oleh suspek.

“Namun, selepas dua jam mangsa menunggu dan menyemak akaunnya, mangsa mendapati wang itu tidak dipulangkan seperti yang diberitahu oleh suspek,” jelasnya.

Sambil menambah, mangsa mulai sedar bahawa dirinya telah ditipu selepas wangnya tidak dikembalikan oleh suspek. — DayakDaily