KUCHING, 16 Ogos: SUPP cawangan Dudong bertekad untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan tersebut.
Menurut ketuanya Wong Ching Yong, kawasan Dudong selama ini mempunyai banyak masalah yang telah mempengaruhi kehidupan masyarakat setempat.
“Saya telah mengunjungi banyak rumah panjang bermula dari Salim ke Naman, Batu Wong, Ulu Sg Sengan dan Ulu Sg Menyan.
“Terdapat banyak masalah seperti tidak ada bekalan elektrik, tiada bekalan air, jalan dalam keadaan yang sangat teruk, rumah panjang yang sangat lama dimana banyak perlu diperbaiki,” kata Wong.
Beliau berkata demikian pada satu majlis yang diadakan di Tr Jackson Jelan di Batu 16, Jalan Ulu Oya Sibu hari ini.
Pada majlis tersebut, penduduk Tr Jackson sebanyak 27 pintu telah mendapat kelulusan pinjaman untuk membaiki rumah panjang berjumlah RM30,000 sepintu.
Tambah Wong, jika rakyat memilih calon dari SUPP sebagai wakil rakyat mereka selesai PRN12 nanti, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) bertekad mendapatkan dana sebanyak RM7 juta dari kerajaan Sarawak setiap tahun untuk membangunkan kawasan.
Dari jumlah tersebut, katanya, sebanyak RM2 juta diperuntukan setiap tahun untuk semua rumah panjang bagi tujuan membaiki rumah yang lama.
“Sekiranya dana dari program transformasi luar bandar tidak mencukupi, SUPP akan membantu rumah panjang untuk memohon pinjaman rumah panjang dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” ujar Wong
Dalam pada itu, Wong berkata secara tradisinya, kerusi DUN Dudong adalah milik SUPP dan hanya calon SUPP sahaja yang layak menjadi calon.
DUN Dudong kini disandang Datuk Thing Thai King yang merupakan bekas pemimpin SUPP yang telah menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB). — DayakDaily