Ng berharap dapat peluang saman kerajaan pusat untuk mengembalikan hak Sarawak

Dominique Ng

KUCHING, 16 Ogos: Ketua Penyelaras Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bandar Kuching, Dominique Ng berharap dibenarkan memimpin satu pasukan perundangan mewakili kerajaan Sarawak bagi menyaman kerajaan pusat supaya semua hak Sarawak kembalikan.

Ini sekiranya kerajaan Sarawak diberikan peluang oleh rakyat bagi dipimpin Pakatan Harapan (PH) Sarawak manakala kerajaan pusat pula masih menjadi lawan mereka.

“Kalau tidak kita akan bincang lagi pasal MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), sedangkan apa gunanya kalau ada MA63 yang sebenarnya mesti dapat manfaat kepada Sarawak, pembangunan kepada Sarawak tetapi akhir sekali kita jadi mangsa dalam Malaysia selama lebih dari 50 tahun,” menurut beliau ketika menyertai sesi Facebook Live ‘Keadilan Sarawak: Hak dan Pembangunan Minyak dan Gas Sarawak’, hari ini.

Manakala sekiranya pimpinan kerajaan Sarawak dan kerajaan pusat sama ditukarkan kepada PH, Ng berkata pihaknya mesti dengan cepat berbincang bagi mengembalikan semua hak kembali kepada Sarawak juga dengan cepat dan tanpa alasan.

“Kalau kami diberikan peluang kali lagi, saya mahu memastikan kami tunaikan kita punya janji kepada rakyat Sarawak, and ini adalah sesautu yang amat peribadi kepada saya,” katanya.

Beliau menegaskan sekiranya masih gagal menunaikan janji tersebut kepada rakyat Sarawak selepas diberikan peluang itu maka tiada gunanya mereka berada dalam politik lagi.

Ng berkata sebelum Malaysia dibentuk, keluasan kawasan perairan Sarawak sehingga ‘continental shelf’ adalah jauhnya sehingga 200 batu nautika mengikut perundangan antarabangsa.

Tetapi selepas Malaysia dibentuk dan melalui Ordinan Darurat, dua undang-undang iaitu Continental Shelf Act 1966 dan Petroleum Mining Act 1966 diperluaskan ke Sarawak yang menghadkan keluasan perairan Sarawak dan Sabah kepada tiga batu nautika.

“Apa yang lebih dari tiga batu nautika sekarang dijadikan hak milik Persekutuan Malaysia; inilah punca masalah yang kita hadapi, sebenarnya ini tidak patut berlaku,” katanya.

Ng berkata ini kerana Ordinan Darurat memperluaskan dua undang-undang terbabit ke Sarawak walaupun tiada perkara darurat atau situasi keselamatan ketika itu dan perkara ini boleh dicabar. — DayakDaily