This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 20 Julai: Kerjasama Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) ditolak dua komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Cawangan Engkilili.
Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cr Edwin Marayong Jali dan Setiausahanya Semijie Janting menerusi satu kenyataan hari ini menyifatkan ia lebih mementingkan kepentingan peribadi dan bukan kepentingan rakyat.
Kenyataan itu dikongsikan bersama Naib Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Engkilili Tuai Rumah Kujat Tandang.
“Memorandum Persefahaman (MoU) diantara PDP dan PSB ini hanya agenda peribadi semata-mata dan bukannya demi kepentingan dan pembelaan rakyat.
“Kaedah ini adalah politik mudah untuk PSB mengekalkan diri mereka menjadi wakil rakyat,” kata Edwin.
Manakala Semijie berkata, kepimpinan akar umbi di DUN Engkilili telahpun memberi mandat dan amanah kepada kepimpinan parti pusat agar mendengar denyut nadi, rintihan dan harapan yang tinggi agar bijak membuat segala keputusan.
Katanya, ia adalah supaya rakyat di bawah terbela dan tidak menjadi mangsa permainan politik yang mendatangkan ketidakstabilan parti.
Bagi Tr Kujat pula, suara rakyat di akar umbi adalah sangat penting di dalam menentukan hala tuju politik yang semakin stabil di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut kenyataan itu, GPS lebih banyak meluangkan masa untuk menyantuni rakyat melalui program yg dilaksanakan hampir setiap minggu dan malahan mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada masyarakat.
“Ini menunjukan dengan jelas rakyat sudah bijak menilai akan ketidakmampuan PSB sekaligus menolak parti tersebut di Engkilili.
“Tanpa PSB bergabung dengan GPS, rakyat di DUN Engkilili kini lebih terbela berbanding sebelum ini,” katanya. — DayakDaily