KUCHING, 25 Jan: Sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero yang disumbat 31 tong gas berjaya ditahan dalam satu operasi ‘Op Benteng’ di jalan sebuah ladang sawit di Kampung Raso, Lundu pada Sabtu (23 Jan) lepas.
Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak SAC Mancha Ata berkata pasukan operasi menahan kenderaan tersebut untuk pemeriksaan semasa membuat rondaan di sempadan Malaysia-Indonesia iaitu sekitar jam 6.15 petang.
Katanya kenderaan tersebut dipandu seorang lelaki tempatan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 31 unit tong gas berwarna hijau di dalamnya yang disyaki untuk diseludup ke Indonesia tanpa permit yang sah dan menggunakan jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, kesemua tong gas tersebut dirampas dan kenderaan disita untuk siasatan lanjut.
“Anggaran keseluruhan rampasan adalah sekitar RM36,200, sementara pemandu kenderaan juga ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. — DayakDaily