KUCHING, 9 Jun: Bahagian Betong sudah bersedia menjadi venue bagi acara angkat berat Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada Ogos depan, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), sukan tersebut akan berlangsung di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.
Gerald yang juga Chef De Mission (CDM) Sarawak dalam SUKMA edisi kali ini berkata, buat masa ini segala persiapan giat dilakukan.
“Begitu juga dengan penginapan atlet dan para pegawai yang kita jangka seramai 300 orang,” katanya.
Gerald berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan program Larian Baton SUKMA dan PARA SUKMA XXI Sarawak 2024 peringkat Bahagian Betong di Dewan Panglima Rentap di sini pada Ahad.
Sementara itu, beliau juga menambah tiada isu kekurangan tempat penginapan bagi orang ramai yang datang memberikan sokongan kepada pertandingan itu nanti termasuk dari bahagian lain.
“Memang kita akan sediakan dan senarai tempat penginapan termasuk di inap desa yang berdekatan seperti di Spaoh, Saratok, Sarikei dan di Sri Aman,” jelasnya. — DayakDaily