Sukma 2024: 12,000 atlet berkampung di 9 bahagian

Abdul Karim (dua dari kiri) mengetuai delegasi bertemu Onn Hafiz (dua dari kanan).
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 24 April: Lebih 12,000 orang atlet akan berkampung di sembilan bahagian di Negeri ini pada Temasya Sukan Malaysia (Sukma) XXI Sarawak 2024 yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bakal menjadi yang terbesar dalam sejarah penganjurannya.

Advertisement

“Sebanyak 13 negeri termasuk Wilayah Persekutuan dan Brunei Darussalam telah mengesahkan penyertaan untuk bersaing dalam 484 acara sukan.

“Ini merupakan kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah di mana pertama kali pada tahun 1990, 2016 dan 2024,” kata Abdul Karim, menurut teks ucapan beliau yang dikongsi dengan media.

Beliau berkata demikian semasa mengetuai delegasi Sukma dan Para Sukma XXI 2024 Sarawak melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor, Dato Onn Hafiz Ghazi di Johor Bahru hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Abdul Karim memberi bayangan Johor Darul Takzim sebagai pencabar utama Sarawak untuk merebut kejuaraan pada Sukma kali ini.

Ia mengambil kira kejayaan negeri itu muncul juara keseluruhan pada edisi ke-20 pada tahun 2022 di Kuala Lumpur. — DayakDaily

Advertisement