Subsidi caj sambungan elektrik ke rumah baharu diteruskan — Dr Abdul Rahman

Dr Abdul Rahman (baju merah) menyempurnakan Program Penanaman Pokok di Taman Botani Sarawak.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 11 Mei: Subsidi caj sambungan elektrik ke rumah baharu yang dilaksanakan oleh kerajaan mulai tahun 2020 diteruskan, kata Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

“Setakat ini subsidi diteruskan, belum ada makluman daripada kerajaan bahawa ada perubahan.


“Jadi ia masih diteruskan melalui Dana Pemohon Lewat dan Tambahan (ALAF) yang sedang dilaksanakan oleh pihak kementerian utiliti dan telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Penanaman Pokok di Taman Botani Sarawak, Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Dr Abdul Rahman, ketua isi rumah boleh memohon terus kepada pihak kementerian melalui pejabat daerah di kawasan masing-masing untuk mendapat subsidi ini.

Katanya, subsidi ini ialah untuk menyambung bekalan elektrik daripada tiang terakhir atau tiang berdekatan ke rumah baharu tersebut dengan subsidi disediakan oleh pihak kerajaan.

Menurut beliau lagi, ia memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah B40 termasuk M40 dengan penyeliaan dilakukan di peringkat pejabat daerah dan kelulusan oleh pihak kementerian.

“Setakat ini hampir 20,000 permohonan telah diterima sejak dilaksanakan dua tahun lepas. Saya rasa hampir 30 peratus telah pun kita laksanakan.

“Tahun pertama kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM20 juta dan pada tahun kedua juga RM20 juta.

“Saya rasa hampir RM40 juta telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan Sarawak untuk projek ini bagi membantu masyarakat terutama di kawasan luar bandar untuk penyambungan elektrik ke rumah masing-masing,” ujar beliau.

Menerusi subsidi ini, kerajaan Sarawak menanggung sepenuhnya kos penyambungan kabel elektrik bernilai bawah RM5,000 ke kediaman penduduk.

Bagi kos penyambungan kabel elektrik bernilai RM5,001 hingga RM7,000 pula, diskaun sebanyak 70 peratus akan diberikan.

Ini bermakna pemilik rumah terbabit hanya perlu membayar 30 peratus kos penyambungan kabel elektrik ke kediaman mereka. — DayakDaily