Suami pukul isteri yang halang adik angkat dibelasah di Matang

Ketiga-tiga suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 24 Jun: Seorang lelaki ditangkap polis selepas dilaporkan memukul isterinya kerana mengesyakinya isterinya mempunyai hubungan sulit dengan adik angkat semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata suspek, 29, tahun ditangkap bersama dua rakannya di tepi jalan di Taman Dahlia Matang, di sini pada jam 5.20 petang.

Katanya, tangkapan adalah susulan laporan polis yang dibuat oleh isterinya, 24, selepas kejadian tersebut pada Selasa (22 Jun).


“Isteri suspek mendakwa dia telah dipukul menggunakan telefon bimbit di bahagian kepala oleh suspek disebabkan dia menghalang suspek memukul adik angkatnya iaitu seorang lelaki berusia 23 tahun.

“Akibat daripada kejadian tersebut, kepala pengadu sebelah kanan mengalami luka,” kata Aidil dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Aidil berkata apabila disoal siasat, suspek tidak mengaku memukul isterinya menggunakan telefon bimbit tetapi hanya mengaku bersama-sama rakannya menumbuk adik angkat tanpa menggunakan sebarang senjata.

“Mereka bertindak sedemikian kerana suspek mengesyaki isterinya ada menjalin hubungan sulit dengan lelaki yang dianggap adik angkatnya itu,” katanya.

Aidil menambah suspek yang bekerja sebagai buruh binaan didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala dua rakannya, yang berusia 28 dan 26 tahun masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 dan 326 Kanun Keseksaan. — DayakDaily