Suami isteri nyaris maut, kereta dinaiki bertembung dengan lori

Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Oleh Dean Adam

LIMBANG, Dis 24: Sepasang suami isteri nyaris maut apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kubong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, pasangan suami isteri tersepit dan mengalami kecederaan pada anggota badan mereka.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Zakaria Matnor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 12.46 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Nissan Almera dan lori membawa muatan tanah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pasangan suami isteri itu masih terperangkap dalam kereta, manakala pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Zakaria menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudian diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi menyelamat itu tamat sepenuhnya pada pukul 1.30 petang,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan tersebut. — DayakDaily