Lelaki ditemui mati dalam kereta selepas joging

Sports shoes. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 24: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia ditemui mati dalam keretanya selepas dikatakan berjoging di kawasan Pustaka Negeri Sarawak di sini lewat petang semalam.

Mangsa yang berusia 40-an ditemui mati dalam keretanya kira-kira pukul 7 petang semalam.


Menurut sumber, sebelum ditemui dalam keadaan tidak bernyawa, lelaki yang dikatakan bekerja dengan pihak berkuasa tempatan di sini dikatakan berjoging di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, selepas melakukan senaman itu, mangsa dikatakan telah masuk ke keretanya sebelum ditemui mati oleh orang awam.

“Terkejut melihat keadaan mangsa, orang awam kemudian menghubungi pihak hospital dan polis untuk tindakan lanjut.

“Petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian melakukan pemeriksaan awal sebelum mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily