Suami isteri maut dalam nahas jalan raya

Keadaan kereta yang dinaiki pasangan terbabit.

KUCHING, 12 Mei: Pasangan suami isteri maut, manakala seorang lagi lelaki parah dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan FAC di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kencemasan memohon bantuan EMRS Bomba pada jam 7.13 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengambil dan menghantar mangsa ke Hospital Umum Sarawak (HUS).


“Apabila sampai di lokasi, didapati berlaku kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Toyota Yaris dan Perodua Axia.

“Pemandu Toyota Yaris, seorang lelaki mengalami kecederaan manakala pemandu dan penumpang Perodua Axia, seorang lelaki dan seorang wanita iaitu sepasang suami isteri disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Manakala mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily