Suami isteri ditemui mati di rumah kongsi di Serian

Rumah kongsi tempat kedua-dua mangsa ditemui.
Advertisement

SERIAN, 20 Mei: Sepasang suami isteri ditemui mati di sebuah rumah kongsi di Ladang Sawit WFM Melikin, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata pasangan berusia 44 dan 47 tahun itu ditemui oleh pekerja ladang yang lain dan kemudian terus memaklumkan kepada pihak pengawal keselamatan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa terbaring berlumuran darah di bahagian dapur rumah tersebut sekitar jam 8 malam.

Advertisement

“Pihak polis telah tiba di lokasi untuk menjalankan siasatan dan hasil siasatan awal mendapati kedua-dua simati adalah warganegara asing berdasarkan dokumen yang dijumpai ditempat kejadian.

“Si mati wanita didapati mendapat kecederaan di bahagian tengkuk sementara si mati lelaki terdapat kesan cedera di bahagian leher,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti motif kejadian,” katanya.

Kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh dan Seksyen 309 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh diri.

Kes masih lagi dalam siasatan. — DayakDaily

Advertisement