Suami ditahan polis kerana disyaki mengugut isteri dengan parang

Kelihatan suspek yang ditahan oleh polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 28 Mac: Berang selepas permintaannya untuk mendapatkan sebentuk cincin emas dan wang ditolak isterinya, seorang lelaki dari Jalan Pujut Padang Kerbau ‘naik minyak’ dan mengugut untuk memotong isterinya itu menggunakan sebilah parang.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Jalan Pujut Padang Kerbau sekitar jam 6.30 petang semalam.


Turut berada di lokasi kejadian, adalah ibu suspek dan adiknya.

Dalam kejadian itu, suspek berusia 35 tahun tiba-tiba bertindak agresif selepas isterinya enggan memberikan cincin emas dan wang seperti yang dimintanya lalu mengambil sebilah parang sambil berteriak, namun berjaya dihalang oleh ibunya.

Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat mangsa berusia 31 tahun itu di Balai Polis Pusat Miri.

Bertindak dari laporan itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah menahan suspek pada hari yang sama sekitar jam 8.40 malam di rumahnya di Jalan Pujut Padang Kerbau untuk siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. — DayakDaily