PBDS: Perjumpaan 15 intelektual Dayak satu permulaan positif

Bobby (duduk kiri tengah, baju merah) bersama 15 aktivis Dayak dalam perjumpaan diadakan semalam (27 Mac, 2021).

BINTULU, 28 Mac: Perjumpaan 15 intelektual Dayak semalam telah mencapai kata sepakat dalam menetapkan hala tuju yang baru untuk semua warga Dayak di seluruh Sarawak.

Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS) Bobby William, dalam satu kenyataan akhbar hari ini, berkata ia juga melakar sejarah di mana warga Dayak berkumpul atas perkongsian menggunakan platform PBDS.

“Perjumpaan ini bukanlah untuk mengangkat parti kita semata-mata tetapi PBDS inilah layak untuk bersuara bagi masyarakat Dayak,” katanya.


Merujuk perjumpaan diadakan pada 27 Mac lepas, Bobby menyifatkan ia sebagai satu permulaan yang baru untuk semua 15 intelektual Dayak yang telah berkumpul bagi membincangkan solusi untuk masalah-masalah yang dihadapi Dayak.

Perjumpaan ini diadakan dengan pematuhan standard operasi prosedur (SOP) yang ketat dan dihadkan.

“Ramai yang ingin datang tetapi tidak dapat untuk menyertai perjumpaan ini disebabkan sekatan rentas daerah yang masih berlaku,” ujar Bobby.

Menurutnya, PBDS akan terus mengadakan perjumpaan ini dalam waktu yang terdekat. Ia bergantung juga dengan situasi semasa Covid-19.

Perjumpaan ini juga dihadari oleh veteran-veteran politik dan aktivis Dayak. — DayakDaily