Suami disyaki pukul isteri kerana makanan ‘tapau’ ditahan polis

Suspek (tengah) ditahan JSJ IPD Miri tengahari tadi (29 Mei 2022).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 29 Mei: Gara-gara disuruh isteri membeli ‘tapau’ dari kedai, seorang lelaki dari Jalan Riam di sini pada hari ini disyaki bertindak bukan sahaja mencekik isterinya, malah menampar kepala mangsa.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 12.45 tengahari tadi di kediaman pasangan tersebut.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, suspek berusia 36 tahun itu telah ditahan pada hari yang sama selepas pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa ada meminta suaminya membeli makanan ‘tapau’ kerana tidak sempat masak memandangkan pada waktu tersebut mangsa bergegas hendak menghantar dua anak mereka ke kelas tambahan.

Namun, suspek tiba-tiba berang lalu bertindak memukul mangsa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Akta Keganasan Rumahtangga (Pindaan) 2017. — DayakDaily