Suami disyaki bunuh isteri warga China didakwa

Tertuduh (baju lokap) diiringi anggota polis ke Mahkamah Majistret Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Mac 16: Seorang lelaki yang dipercayai membunuh isterinya warga China didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Wong Zing Haw, 48, hanya mengangguk kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ismawi Salleh.

Tiada pengakuan oleh tertuduh direkodkan selepas itu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati mandatori.

Mahkamah sama kemudian menetapkan tarikh April 23 depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang penduduk kampung yang dalam perjalanan pulang memancing ikan terkejut apabila menemui satu kepala manusia tanpa badan di tebing Sungai Batang Lupar, Skait Lama di sini.

Menurut sumber, penduduk kampung tersebut menjumpai bahagian kepala dipercayai wanita itu pada pukul 4.30 petang.

Katanya, terkejut dengan penemuan itu, dia terus menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Dsp. Othman Sulaiman pula mengesahkan menerima laporan penemuan bahagian kepala dipercayai wanita itu.

Jelasnya, sepasukan anggota polis kemudian ke lokasi penemuan bahagian kepala berkenaan bagi melakukan siasatan lanjut.

“Sebaik tiba di tempat tersebut, pasukan polis kemudian menemui satu kepala dalam keadaan terputus,” katanya. — DayakDaily