Basikal bertembung dengan kereta, lelaki maut akibat kecederaan parah

Keadaan kereta yang rosak selepas terlibat dalam kemalangan.

MIRI, Mac 16: Seorang lelaki warga emas maut selepas basikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Pekan Niah di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu mengakibatkan mangsa, Ambie Bejie, 63, mengalami kecederaan parah pada anggota badannya.

Lelaki malang itu kemudian disahkan meninggal dunia semasa dia dibawa petugas perubatan ke Hospital Miri di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang menuju ke arah Pekan Niah di sini.

Katanya, malang menimpa mangsa sebaik tiba di lokasi kemalangan apabila dia dikatakan tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta Proton Saga FLX.

“Rempuhan kuat itu telah mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah.

“Manakala, pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu kereta itu bagi tindakan selanjutnya.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily