KUCHING, 4 Jan: Sebuah stesen minyak Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan dibina di tapak Wadira Food Court di Simpang Saratok.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), perkara ini dimaklumkan ADUN Kalaka Mohamad Duri semasa merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Peserta Felcra Kawasan Saratok Berhad Tahun 2021 di Dewan Dayak pada Ahad.
Katanya, pembinaan PETROS itu telah diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 2019 lalu.
“Oleh itu, saya akan membantu koperasi dalam merealisasikan pembinaan PETROS di Simpang Saratok seperti yang telah diluluskan Ketua Menteri,” katanya.
Ujar Mohamad lagi, Koperasi Peserta Felcra Kawasan Saratok telah mendapat pemilikan tanah di Tapak Wadira Food Court di Simpang Saratok daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak baru-baru ini.
“Dengan pemilikan itu, koperasi dapat melaksanakan pembangunan di tapak tanah tersebut seperti sekarang.
“Pengurusan koperasi hendaklah merangka perancangan pembangunan ke atas tapak Wadira Food Court sama ada menaik taraf bangunan sedia ada atau membina bangunan kawasan rehat (R&R) yang baharu,” katanya. ― DayakDaily