Buat laporan palsu elak didenda mohon MyKad baharu, namun penjara yang menanti

Supt Merbin Lisa

KUCHING, 4 Jan: Seorang wanita berdepan hukuman denda atau penjara sekiranya didapati bersalah selepas kantoi membuat laporan polis palsu baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata suspek, 30an, dipercayai membuat laporan palsu mendakwa dirinya disamun dua lelaki pada 2 Januari iaitu sekitar jam 9.10 malam.

Suspek kononnya dalam kejadian tersebut diacukan senjara tajam oleh dua lelaki terbabit yang kemudian melarikan beg silang miliknya.


“Hasil soal siasat oleh pegawai penyiasat terhadap suspek, mendapati laporan yang dibuat adalah palsu.

“Motif laporan palsu dibuat kerana suspek mahu mengelak daripada membayar denda semasa membuat kad pengenalan (MyKad) baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, suspek kemudian ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 183 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali,” kata Merbin. ― DayakDaily