Stadium Mini Song perlukan perhatian segera dari pihak berkuasa

Keadaan trek balapan di Stadium Mini Song.

SONG, Kapit: Pihak berkuasa digesa memperuntukkan dana penyelengaraan untuk pemulihan Stadium Mini Song supaya stadium tersebut boleh berfungsi seperti di awal pembukaannya.

“Stadium Mini Song merupakan satu-satunya tempat penduduk awam pekan Song beriadah dan bersukan terutamanya berjoging pada waktu petang, semenjak pembukaannya pada 20 tahun lalu, tetapi malang sekali Stadium Mini ini tidak selengara oleh pihak berwajib dalam tempoh lebih sedekad,” kata Paren Nyawi, penyelaras pusat khidmat Parti Tindakan Democratik (DAP) Katibas dalam satu kenyataan media hari ini.

“Kali terakhir trek balapan di Stadium Mini Pekan Song ini digunakan untuk acara olahraga Kejohanan Majlis Sekolah-Sekolah Bahagian Kapit adalah pada tahun 2005.

“Semenjak tahun 2005-2019 (kini) trek balapan (Mini Stadium Song) hanya digunakan untuk Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Rendah Daerah Song sahaja atas risiko sendiri.”

Keadaan trek balapan di Stadium Mini Song.

Beliau menambah, sehingga kini hanya kemudahan padang bola sepak yang masih berfungsi seperti biasa.

“Disebabkan tiada penyelengaraan kecuali aktiviti memotong rumput, ini menyebabkan tandas dan bilik persalinan rosak teruk selepas beberapa tahun, cermin di bilik persalinan banyak yang sudah pecah, bilik-bilik khas di stadium habis rosak kesemuanya terutamanya penghawa dingin dan kipas dan kesemua soket elektrik rosak sepenuhnya.” — DayakDaily