SSM agih zakat korporat berjumlah RM60,200 kepada golongan asnaf

Para penerima zakat berkesempatan bergambar kenang-kenangan bersama Chong (duduk tengah, barisan depan).

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mei 27: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengagihkan zakat korporat berjumlah RM60,200 kepada golongan asnaf di Dewan Serbaguna Batu Kitang, di sini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jien telah menyaksikan pengagihan zakat tersebut disampaikan oleh Pengarah Bahagian Strategi dan Komunikasi Korporat SSM, Farid Ahmad.


Chong dalam ucapannya memuji SSM kerana mengambil langkah turun padang mendekati masyarakat yang kurang berkemampuan bertujuan untuk berkongsi lebihan rezeki yang diperolehi SSM dan diperuntukkan sebagai Zakat Korporat.

Tambahnya lagi, kerajaan akan terus berusaha memajukan negara dan tidak akan meminggirkan rakyat daripada arus pembangunan yang dikecapi.

Zakat korporat SSM diagihkan kepada para penerima yang berkelayakan mengikut garis panduan asnaf penerima zakat yang telah ditetapkan.

Daripada jumlah keseluruhan RM60,200, sebanyak RM37,200 diagihkan kepada 248 orang asnaf fakir miskin dan setiap orang menerima RM150.

Selebihnya sebanyak RM23,000 pula diagihkan kepada asnaf fisabibillah melibatkan beberapa buah masjid dan surau.

Masjid Darul Ehsan Haji Baki dan Majid Darul Ehsan Kampung Reban masing-masing menerima zakat korporat sebanyak RM4,000 dan RM3,000 diberikan kepada surau-surau sekitar kawasan Batu Kitang.

Pada majlis yang sama, Chong juga berkesempatan mengacau bubur lambuk bersama penduduk kampung serta berbuka puasa bersama mereka.

Turut hadir ialah Pengarah SSM Negeri Sarawak, Rozaini Muhamed. ā€” DayakDaily