Banci perdagangan borong dan runcit dilaksanakan sehingga September ini

Business, jobs and trade. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mei 27: Banci Perdagangan Borong dan Runcit (WRC) telah dilaksanakan bermula bulan April sehingga September tahun di seluruh negara.

Jabatan Perangkaan Negeri Sarawak berkata, objektif utama banci ini adalah untuk mengemaskini stok rangka dan profil subsektor perdagangan borong dan runcit sehingga peringkat mikro.

Kata Jabatan Perangkaan Negeri Sarawak, ia juga bagi mengukur sumbangan perdagangan borong dan runcit kepada ekonomi negara dan menyediakan instrumen bagi penggubalan dasar pembangunan dan mengukur pencapaian pelan pembangunan nasional.

“Penemuan daripada banci ini akan digunakan oleh kerajaan bagi tujuan perancangan dan pemantauan, terutamanya dalam penyediaan Rancangan Malaysia.

“Ia merupakan input utama bagi pembentukan dasar ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” kata Jabatan Perangkaan Negeri Sarawak dalam satu kenyataan media hari ini.

Jabatan Perangkaan Negeri Sarawak menambah, selain itu, ia juga menjadi penanda aras kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) serta perangkaan ekonomi dan sosial di Malaysia.

Tambah Jabatan Perangkaan Negeri Sarawak, dianggarkan sejumlah 31,000 syarikat perniagaan di Sarawak akan diliputi dalam banci ini.

“Selaras dengan tagline “Data Memacu Perniagaan”, maka peranan syarikat perniagaan amatlah penting untuk memberikan kerjasama dengan memberikan maklumat yang tepat kepada Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Statistik berkualiti yang diperolehi dapat membantu kerajaan membuat keputusan berasaskan bukti yang nyata,” kata Jabatan Perangkaan Negeri Sarawak. — DayakDaily