Oleh Chris Bishop
KUCHING, 17 Sept: Indek Pencemaran Udara (IPU) di Bahagian Sri Aman terus menunjukan peningkatan pada jam 5 petang ini dengan bacaan 407.
Setelah mencapai bacaan 352 pada jam 6 pagi tadi, keadaan jerebu pada paras berbahaya itu semakin teruk menjelang senja.
Keadaan diburukan lagi dengan kebakaran hutan yang berlaku di ladang kelapa sawit Herm Len Pelita Guo, Taman STC dan di Jalan Tisak Betong.
Kebakaran hutan di ladang sawit Herm Len Pelita Guo melibatkan keluasan 10 ekar manakala di Taman STC juga 10 ekar dan di Jalan Tisak 33 ekar.
Kedudukan sensor IPU di Sri Aman dari lokasi kebakaran di Taman STC adalah pada jarak 8 kilometer.
Sementara itu, Bahagian Kuching yang sejak semalam berada dalam situasi sangat tidak sihat merekodkan bacaan IPU 214 pada jam 5 petang ini. Bahagian lain yang mencatatkan bacaan tidak sihat adalah Sibu (173), Sarikei (155) dan Samarahan (158).
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menjalankan operasi pembenihan awan dan ia tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai.
Ekoran jerebu teruk ini, Kementerian Kesihatan Malaysia menggesa orang awam supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti meminum air dengan kerap, mengurangkan atau menghentikan aktiviti luar seperti sukan atau rekreasi dan berada dalam bangunan serta memakai penutup hidung dan mulut apabila keluar.
Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. — DayakDaily