SPRM Sarawak tingkatkan fokus dalam pencegahan rasuah

Abang Johari (kiri) menerima kunjungan hormat Mohd Zaki di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 19 Jun: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah meningkatkan fokus dalam menjalankan pelbagai program pencegahan untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya rasuah.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Pengarahnya Datuk Mohd Zaki Hassan berkata, ia sebagai sokongan sepenuhnya aspirasi kerajaan Sarawak dalam memastikan negeri ini bebas daripada isu-isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

“Kita juga membantu membaiki prosedur atau bertindak sebagai penasihat kepada jabatan-jabatan yang dilihat boleh membuatkan kebocoran kepada dana-dana yang ada di Sarawak ini,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wima Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Kunjungan hormat itu bertujuan untuk memaklumkan kepada Abang Johari bahawa beliau akan memulakan tugas baharu sebagai Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dalam masa terdekat.

Mohd Zaki sudah lebih enam tahun berkhidmat di negeri ini sebagai Pengarah SPRM Sarawak.

Beliau yakin dengan sokongan padu daripada Abang Johari, SPRM Sarawak akan terus mengekalkan prestasi yang cemerlang dalam menyumbang kepada usaha membanteras rasuah di rantau ini.

Beliau turut menyatakan kebanggaannya terhadap pencapaian SPRM Sarawak yang sehingga kini berperanan aktif memperkukuhkan sistem pencegahan rasuah di bawah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS).

“Kita merupakan satu jawatankuasa yang memberi pandangan dari aspek penguatkuasaan.

“Jadi saya sangat berbangga kerana usaha ini juga termasuk dalam salah satu sejarah yang membuktikan SPRM Sarawak juga memainkan peranan dalam usaha kerajaan Sarawak memerangi rasuah,” tambahnya. — DayakDaily

Advertisement