KUCHING, 6 Julai: Majlis Islam Sarawak (MIS) menerusi garis panduan baharu berkuatkuasa esok (7 Julai) menetapkan Solat Jumaat di Masjid Jamek Negeri Sarawak adalah dibenarkan dengan tidak melebihi 400 orang.
Had jemaah bagi kategori masjid bahagian, daerah, daerah kecil dan kariah adalah tidak melebihi 200 orang.
Bagi surau berjumaat pula adalah dibenarkan dengan tidak melebihi 100 orang.
“Had jemaah adalah termasuk Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Pengurusan serta mematuhi penjarakan fizikal satu meter,” kata MIS.
MIS juga menetapkan bahawa solat fardhu di Masjid Jamek Negeri Sarawak adalah dibenarkan tidak melebihi 150 orang manakala bagi bahagian, daerah, daerah kecil dan kariah serta surau adalah tidak melebihi 100 orang.
Berhubung aktiviti pengurusan jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19, MIS memaklumkan ia dibenarkan di masjid dan surau dengan kehadiran tidak melebihi 10 orang ahli waris sahaja.
Kehadiran pengurus jenazah adalah dibenarkan dengan bilangan yang sesuai.
“Manakala bagi pengkebumian jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19, aktiviti dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 10 orang ahli waris sahaja.
“Kehadiran pihak pengurusan tanah perkuburan adalah dibenarkan dengan bilangan yang sesuai,” kata MIS.
Garis panduan turut menetapkan bahawa aktiviti ziarah kubur adalah ditangguhkan buat sementara.
Menurut MIS, pemakaian garis panduan ini berkuatkuasa mulai 7 Julai 2021 sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan atau mana-mana arahan lanjut yang ditetapkan. — DayakDaily