Kekasih gelap isteri bawa parang serang suami ditahan di Batu Niah

Suspek (tiga dari kiri) ditahan sepasukan anggota JSJ di dalam sebuah kawasan semak di Batu Niah.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 6 Julai: Perbuatan seorang pemuda membawa sebilah parang berukuran 59cm dan mengugut bunuh seorang petani di Niah semalam membawa padah, apabila dia ditahan polis.

Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 1 petang semalam, suspek berusia 35 tahun tiba-tiba datang ke rumah pengadu sambil membawa sebilah parang dan mengugut akan mencederakannya.


Hasil siasatan mendapati, suspek merupakan skandal isteri kepada pengadu yang berusia 27 tahun itu.

Suspek ‘naik minyak’,selepas mengetahui pengadu telah membuat laporan polis mengenai hubungan sulit tersebut.

Menurut Ketua Polis Dareah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek ditahan lima jam selepas kejadian oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.

Turut dirampas sebilah parang dipercayai telah digunakan dalam kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily