Soal perbezaan fahaman politik perlu dikikis, kata Ranum

Ranum (baju kuning) bersama masyarakat setempat bergotong-royong membersihkan kawasan Kampung Tembawang Sauh.

BAU, Ogos 11: Amalan gotong-royong harus disuburkan di kalangan masyarakat setempat khususnya golongan muda bagi memastikan budaya bekerjasama tradisional itu kekal dipelihara.

Ahli Dewan Undangan Negeri Opar, Datuk Ranum Mina, berkata budaya gotong-royong mampu menjadi platfrom terbaik dalam memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Menurut beliau, program gotong-royong perlu dijadikan amalan yang berterusan dalam komuniti kerana mampu memantapkan perpaduan masyarakat.


“Soal perbezaan fahaman politik perlu diabaikan demi kebaikan bersama untuk tampil beramal sosial dalam setiap program kemasyarakatan yang dianjurkan.

“Sehubungan itu, budaya yang baik ini perlu dipertahankan bagi sekali gus memupuk kerjasama antara penduduk tempatan,” katanya dalam program gotong-royong membersihkan kawasan Kampung Tembawang Sauh di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ranum memberitahu, tradisi gotong-royong yang menjadi amalan masyarakat di kampung semakin terhakis disebabkan oleh keadaan semasa termasuk terlalu sibuk dengan pekerjaan.

Katanya, ia juga disebabkan kurangnya penganjuran program dan sikap segelintir masyarakat yang membataskan penglibatan mereka disebabkan pengaruh fahaman politik yang berbeza.

“Dalam komuniti, kita perlu bersatu padu. Kerja amal dan bergotong-royong perlu diteruskan sebagai satu warisan dan budaya. Jangan jadikan perbezaan fahaman politik sebagai penghalang atau batasan yang membelenggu kerja amal,” katanya lagi.

Ranum juga me­ngucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sanggup bermandi peluh untuk membersih­kan kawasan kampung tersebut. — DayakDaily