Sng menyambut baik komitmen KPKT melihat keperluan membina balai bomba di Julau

Larry Sng

KUCHING, 6 Ogos: Ahli Parlimen Julau Larry Sng menyambut baik komitmen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melihat keperluan membina balai bomba Kategori E di Julau.

“Saya menyambut baik komitmen Menteri KPKT (Zuraida Kamaruddin) untuk meminta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak untuk turun dan melihat keperluan balai bomba di Julau,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebooknya semalam.

Menurut Sng, pembinaan Balai Bomba Kategori E ini mesti disegerakan untuk memastikan keselamatan rakyat di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.


Beliau mengulas mengenai maklumbalas Zuraida mengenai ketiadaan balai bomba di Julau yang telah dibangkitkannya pada persidangan Parlimen.

Zuraida menjelaskan kementerian berkenaan ada perancangan mewujudkan balai bomba Kategori E bagi kawasan atau pulau terpencil dan sudah mengenalpasti 108 lokasi yang dapat dibina balai bomba itu.

Namun, Julau tidak termasuk dalam senarai lokasi terbabit dan Zuraida akan meminta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak bersama Ahli Parlimen Julau untuk melihat keperluan itu. — DayakDaily