Skim pembesaran kampung ala Abang Johari prihatin kebajikan rakyat

Karim (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari selesai perasmian Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Sambir.

Oleh Chris Bishop

ASAJAYA, 27 Mac: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tanggung semua kos pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung (SPK) di seluruh negeri.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, pelaksanaannya sehingga rumah didirikan dan berbeza daripada skim terdahulu.


“Semua kos ditanggung oleh kerajaan dan ini termasuk membiayai peruntukan untuk membina jalan premix, parit konkrit, menembok lot kediaman dan sistem bekalan air dan elektrik.

‘Skim ini memerlukan peruntukan yang besar dan hanya kerajaan yang memiliki kewangan yang kukuh sahaja dapat melaksanakannya.

“Skim pembesaran kampung ala Abang Johari ini prihatin kepada kebajikan rakyat,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian pada majlis Perasmian Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Sambir di Asajaya hari ini.

Majlis telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Tambah Abdul Karim yang juga Adun Asajaya, kos untuk menyediakan satu lot kediaman adalah RM193,000 dan penerima lot hanya diminta untuk membayar RM2,500 sahaja dan bayaran boleh dibuat secara ansuran.

“Manakala kadar faedah pinjaman perumahan yang disediakan oleh Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd hanya satu peratus sahaja,” katanya yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Jelas Abdul Karim, terdahulu skim pembesaran kampung menghadapi masalah kerana ia hanya menyediakan jalan sahaja dan pemilik lot perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membina rumah dan menembok tanah.

“Tetapi sekarang kerajaan GPS diketuai Abang Johari telah mentadbir negeri dengan baik dengan sumber kewangan yang masuk berbilion ringgit.

“Dengan itu, kerajaan dapat meningkatkan lagi SPK dan memudahkan rakyat yang memilikinya,” ujar Karim.

Sejumlah 269 lot kediaman dirancang dibina menerusi SPK di kawasan DUN Asajaya dengan anggaraan kos RM45 juta dimana 100 unit akan dibina di Kampung Sambir . — DayakDaily