Rundi: Sebauh terus nikmati pembangunan

Rundi(kanan) pada lawatan ke Projek Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) di Kampung Hulu Sebauh.

KUCHING, 27 MAC: Pembinaan Jambatan Sebauh, Bintulu bakal memberi kemudahan dan perhubungan yang sistematik bagi penduduk sekitarnya.

Menurut Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi, ia akan menghubungkan Jalan Kampung Hilir, Jalan Pandan Fasa 2 dan Jalan Ulu Pandan.

Justeru katanya, Daerah Sebauh akan terus mengalami perubahan lanskap infrastruktur berterusan melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang sedang giat dilakukan Kerajaan Sarawak.


“Beberapa projek cadangan yang kini dalam penyelenggaraan seperti stadium mini, Tebingan Sebauh, masjid dan gereja.

“Pejabat Daerah Sebauh telah mengenal pasti lokasi bagi projek-projek terbabit.

“Kini, pihaknya masih menunggu kelulusan daripada Unit Perancang Negeri untuk meneruskan projek-projek tersebut yang telah pun diluluskan oleh Kerajaan Sarawak sebelum ini,” kata Rundi.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) – Projek Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) di Kampung Hulu Sebauh, Skim Penempatan Semula Sebauh serta Rumah Mebak Aji pada Jumaat.

Tambah beliau yang juga Adun Kemena, Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga telah meluluskan Projek Pembinaan Fasa 2 Jalan Ulu Pandan yang mana sudah pun ditender.

Dalam pada itu, Rundi berpuas hati terhadap penyelenggaraan MRP-PPRMS yang disifatkan mematuhi tempoh jadual siap kerja.-DayakDaily