Ramalan cuaca baik sebelah pagi, hujan sebelah petang untuk Hari Raya Aidilfitri

Gambar satelit cuaca untuk Malaysia hari ini (Jun 4, 2019).

KUCHING, Jun 4: Sarawak diramalkan akan mengalami cuaca yang baik sebelah pagi pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri esok.

Mengikut ramalan cuaca sempena perayaan itu dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Sarawak tiada mengalami hujan sebelah pagi Hari Raya Aidilfitri pertama esok dan Hari Raya Aidilfitri kedua pada Jun 6.

Bagaimanapun pada dua hari itu, Sarawak mengalami hujan dan ribut petir di beberapa tempat sebelah petang iaitu di Bahagian Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.


Ini diikuti hujan di satu dua tempat di Bahagian Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang pada sebelah malam manakala cuaca yang baik di tempat lain.

Selain itu JMM di laman sesawangnya http://www.met.gov.my/ meramalkan pada Hari Raya Aidilfitri ketiga pada Jun 7 (Jumaat), Sarawak akan mengalami hujan di satu dua tempat di kawasan pedalaman sebelah pagi dan malam serta ribut petir di satu dua tempat di kawasan pedalaman sebelah petang.

Cuaca yang sama juga diramalkan pada Hari Raya Aidilfitri yang keempat atau Sabtu, Jun 8 depan.