SK Dijih di Selangau akan disambung ke grid elektrik pada Fasa 2 projek

Senator Rita Sarimah Patrick Insol

KUCHING, 7 Sept: Sekolah Kebangsaan Dijih di Selangau akan disambungkan ke grid elektrik pada Fasa 2 pelaksanaan projek penyambungan pembekalan tenaga elektrik kepada grid awam.

Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya berkata, projek itu adalah untuk memastikan sekolah di kawasan pedalaman negeri Sarawak mendapat kemudahan bekalan elektrik sepenuhnya.

“Berdasarkan kepada penilaian yang telah dibuat oleh kerajaan negeri Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad (SEB), sebanyak 128 buah sekolah telah dikenalpasti terletak dalam jarak kurang daripada 1km daripada tiang utama elektrik.


“Sejumlah RM50 juta telah diperuntukan di bawah projek ini yang dilaksanakan melalui beberapa fasa,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Muslimin menjawab soalan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol yang bertanya bila SK Dijih akan disambung ke grid elektrik yang sedia ada di sepanjang Jalan Dijih.

Menurut beliau lagi, bagi Fasa 1 yang bermula Oktober 2019, sebanyak 15 buah sekolah telah selesai kerja penyambungan ke talian grid pada Februari 2020.

Walau bagaimanapun tambah Muslimin, sekiranya tidak dapat dilaksanakan oleh SEB dalam masa yang ditetapkan, pihak KPM akan melaksanakan penyambungan di bawah kontrak penyelenggaraan genset dan pembekalan diesel yang sedang dilaksanakan oleh pihak JKR. — DayakDaily