Sistem perpaipan air bersih di Batang Sadong siap, akan beroperasi tidak lama lagi

Nancy (duduk) sedang menjalani pemeriksaan kesihatan ketika menghadiri Program Jalinan Kasih Bersama Komuniti di Klini Kesihatan Sadong Jaya, di Kampung Sadong Jaya.

SADONG JAYA, Mac 30: Masalah bekalan air di kawasan Parlimen Batang Sadong dijangka akan dapat diselesaikan tidak lama lagi kerana sistem perpaipan bagi membekalkan air bersih yang terawat kepada penduduk kawasan itu sudahpun siap.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri berkata sistem perpaipan itu bukan sahaja mampu membekalkan air bersih terawat dengan tekanan air cukup kuat ke kawasan Parlimen Batang Sadong malahan sehingga ke kawasan Sebuyau.

“Sebab itulah saya agak terkilan ada dari kalangan penduduk yang membuat bising di media sosial berkenaan isu air sedangkan pada masa ini, proses membekalkan air bersih ke luar bandar (Parlimen Batang Sadong) berada di peringkat akhir proses rawatannya iaitu pengklorinan (air dari sumbernya),” katanya ketika menghadiri Program Jalinan Kasih Bersama Komuniti di Klini Kesihatan Sadong Jaya, di Kampung Sadong Jaya, di sini, hari ini.


Nancy Shukri tidak mendedahkan butiran bila air bersih terawat akan mula disalurkan melalui sistem perpaipan itu tetapi menegaskan proses pengklorinan terbabit yang sedang dijalankan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak adalah penting kerana membabitkan kesihatan.

“Bahan yang digunakan dalam pengklorinan itu boleh membantu membunuh mikroorganisma (merbahaya) yang terdapat dalam sumber air,” katanya.

Sehubungan itu, Nancy meminta masyarakat di kawasan Parlimen terbabit memahami tentang prosedur rawatan air dari sumbernya sehingga bersih dan selamat untuk diminum sebelum disalurkan dari loji rawatan melalui sistem perpaipan kepada mereka. — DayakDaily