This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 6 Sept: Empat negara BIMP-EAGA harus bekerjasama dalam membangun infrastruktur sistem perhubungan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Justeru jelas beliau, sektor pengangkutan adalah eleman penting dalam mempercepatkan perkembangan ekonomi dan kemakmuran di rantau ini.
“Ia memainkan peranan penting dalam menghubungkan industri, pasaran dan rakyat di seluruh rantau ini.
“Dengan mengoptima serta mengembangkan jaringan pengangkutan, kita menyediakan sokongan untuk mengembangkan ekonomi.
“Pelaburan strategik ini bukan sekadar memacu perkembangan ekonomi tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan, ” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada Majlis Penutupan Persidangan Pengangkutan Sarawak 2023 di Kuching hari ini.
Tambah beliau, rantau Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina perlu ada sistem perhubungan yang baik demi kelangsungan perdagangan, pelaburan dan sebagai destinasi pelancongan.
Manakala dalam rantau Borneo, katanya, pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur membawa makna kepentingan sistem perhubungan rentas sempadan.
“Kepulauan Borneo bakal menjadi satu Wilayah yang pesat membangun di masa hadapan. Untuk memanfaat peluang ini, kita perlu meningkatkan perhubungan rentas sempadan.
“Ia bukan sahaja di Borneo tetapi dihubungankan ke ekonomi serantau.
“Pelaburan infrastruktur yang dilaksanakan pada hari ini akan membuka jalan kepada kemakmuran dan masa depan yang cerah untuk generasi seterusnya,” kata Abang Johari. — DayakDaily