Sikap cuai kontraktor merosakkan jubin lantai sekitar Tebingan Kuching

Tebingan Kuching yang menjadi tempat tarikan pelancongan dan tumpuan orang ramai di bandaraya Kuching.
Advertisement

KUCHING, Feb 21: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan mendedahkan kebimbingan dengan perbuatan memotong dan merosakkan jubin lantai sekitar Tebingan Kuching yang menjadi tempat tarikan pelancongan dan tumpuan orang ramai di bandaraya ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau sendiri telah memeriksa keadaan Tebingan Kuching dengan teliti baru-baru ini dan mendapati lokasi tersebut mengalami banyak kerosakkan pada jubin lantainya.

“Saya mendapati ada jubin lantai yang hilang; lebih teruk lagi ada kontraktor yang telah memotong jubin bagi memasang kabel dan setelah itu hanya mereka menuang simen sahaja ke atas bahagian itu dan merosakkan corak jubin terbabit,” katanya ketika mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasmikan ‘Festival Chap Goh Meh 2019’ di India Street Predestrian Mall, di sini, semalam.

Advertisement

Perasmian festival anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) tersebut juga dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Ahli Dewan DBKU selaku pengerusi pengelola ‘Festival Chap Goh Meh 2019’ Datuk Wee Hong Seng.

Abdul Karim berkata beliau malahan terpaksa menghalang pihak kontraktor terbabit dari terus memotong lebih banyak jubin lantai tebingan itu baru-baru ini kerana bimbang kerja pemotongan itu akan merosakkan corak asal jubin tersebut.

“Jubin terbabit sebenarnya boleh dikeluarkan dari lantai dan selepas dimasukkan kable, jubin boleh dipasangkan kembali pada lantai dan bukannya dipotong. Saya kecewa melihat banyak tempat (di Tebingan Kuching) yang sudah dipotong jubin lantainya,” katanya.

Menurutnya, jubin lantai Tebingan Kuching adalah direka khusus dengan corak menarik bagi mengindahkan kawasan terbabit dan sepatutnya kontraktor yang menjalankan sebarang kerja di tebingan itu dipastikan tidak merosakkan jubin berkenaan.

Abdul Karim sehubungan itu mahu pihak yang bertanggungjawab menguruskan kawasan Tebingan Kuching mengambil tindakan terhadap perkara itu dan mendedahkan ketika ini ada dua pihak berasingan menguruskan Tebingan Kuching.

“Tebingan Kuching tidak boleh diuruskan dua atau tiga pihak. Ketika ini ada bahagiannya yang diuruskan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan bahagian yang lain lagi diuruskan DBKU,” katanya.

Menurutnya sepatutnya Tebingan Kuching yang menjadi ikon bandaraya ini diuruskan satu pihak sahaja samada SEDC ataupun DBKU dan beliau secara peribadinya berpendapat tebingan itu sepatutnya keseluruhnnya diuruskan DBKU.

Beliau juga mendedahkan yang Abang Johari juga kelihatan bersetuju dengan perkara terbabit, ditambah Ketua Menteri telah meminta Tebingan Kuching dijadikan bebas kenderaan pada hari tertentu.

Ketika ini pihaknya sedang merancang melaksakanakan cadangan Ketua Menteri tersebut dan kemungkinan mula menjadikan kawasan berkenaan bebas kenderaan dua kali seminggu pada mulanya dan selepas itu sekali seminggu.

“Selain itu, kalau pembangkang nak menjadikan ini satu isu maka silakan. Kami tidak akan terlalu khuatir mengenainya dan saya juga tidak peduli,” katanya kerana pihaknya mahu menjadikan Tebingan Kuching sebagai kawasan yang lebih menarik bagi semua. — DayakDaily

Advertisement