Percubaan perkhidmatan bas elektrik hujung bulan ini

Abdul Karim (tiga dari kiri) menerima cenderahati dari pengerusi pengelola pesta Datuk Wee Hong Seng (dua dari kiri) selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan 'Festival Chap Goh Meh 2019' di India Street Predestrian Mall.

KUCHING, Feb 21: Perkhidmatan bas elektrik dijangka akan mula percubaan operasi di bandaraya ini hujung bulan ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata bas elektrik tersebut akan menyediakan perkhidmatannya yang percuma pada peringkat percubaan itu.

“Hujung bulan ini kita akan ada (perkhidmatan) bas elektrik percuma. Kita akan mencuba bas terbabit bagi mengelilingi bandaraya ini dan memudahkan (orang ramai dan pelancong) bergerak sekeliling,” katanya ketika mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasmikan Festival Chap Goh Meh 2019 di India Street Predestrian Mall, di sini, semalam.


Disember tahun lepas, prototaip bas elektrik terbabit dirasmikan pelancarannya oleh Timbalan Ketua Menteri juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Tan Sri Datuk Amar James Masing mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Perkhidmatannya akan menggunakan laluan sejauh 14 kilometer sekitar bandar raya Kuching sebagai perintis dengan melibatkan laluan antara bangunan komersial Satok, laluan Jejak Warisan (Heritage Trail) dan bangunan komersial iCom Square di Jalan Pending.

Sebagai permulaan, syarikat berkaitan memberi perkhidmatan percuma kepada warga tempatan dan pelancong dan akan memulakan perjalanannya di Main Bazaar mulai pukul 7 pagi dan akan berakhir pada pukul 6 petang di Jalan Khoo Hun Yeang (Open Air Market).

Bas elektrik terbabit akan dilengkapi kemudahan teknologi seperti kamera litar tertutup disamping WiFi percuma,selain aplikasi sistem penjejakan serta bas juga turut mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dengan kerusi khas OKU. — DayakDaily