Sibu venue Sukan Olimpik Khas Negeri pada Julai ini

Fatimah pada lawatan ke Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim. Photo credit: Ukas

KUCHING, 19 Mac: Bahagian Sibu dipilih sebagai venue Sukan Olimpik Khas Negeri Ke-6 yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 3 Julai 2022.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya telah bersetuju untuk melangsungkan temasya sukan itu di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu.

Menurut Fatimah, ia satu kebanggaan bagi pihaknya selaku jawatankuasa penganjur sukan itu setelah diberi penghormatan untuk menggunakan fasiliti itu buat kali pertamanya sebaik ia dirasmikan pada Julai kelak.


“Selepas berunding, di situlah venue untuk kita melangsungkan Sukan Olimpik Khas Negeri pada 1 Julai.

“Pada 1 Julai juga, kompleks sukan itu akan dirasmikan oleh Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg),” katanya menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau pada Jumaat telah merasmikan Persatuan E-Dok Sibu.

Terdahulu, Fatimah telah mengadakan lawatan ke kompleks sukan.

Pada majlis sama, Fatimah telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran yang melibatkan dua buah rumah yang berlaku di Kampung Bahagia Jaya Teku pada 1 Mac lalu.

Mangsa pertama iaitu Nur Fazli Mahdi menerima bantuan wang saku, elaun pakaian harian dan bantuan bahan binaan berjumlah RM5,300.

Manakala mangsa kedua, Taip Bus menerima bantuan wang saku, elaun pakaian harian, bantuan persekolahan dan bantuan bahan binaan berjumlah keseluruhan RM7,400.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sibu juga telah menghulurkan bantuan tambahan sebanyak RM900.

Ini dilaksanakan melalui peruntukan Tabung Bantuan Segera (TBS) kepada waris mangsa yang terkorban dalam kejadian bencana iaitu Taip Bus sebagai Sumbangan Ehsan dari pihak JKM.– DayakDaily