Kampus Satelit Institut Kraf Negara bantu melebar luas latihan kemahiran

Nancy (dua dari kiri) merasmikan Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN) di Jalan Stadium, Petra Jaya.

KUCHING, 19 Mac: Menteri Pelancongan Seni Dan Budaya MOTAC Dato Sri Nancy Shukri hari ini merasmikan Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN) di Jalan Stadium, Petra Jaya di sini.

Menurut beliau, pembukaan Kampus Satelit di Sarawak amat bertepatan terutamanya apabila seramai 1.97 juta orang daripada 2.82 juta penduduk di Sarawak adalah golongan belia hingga dewasa.

“Saya yakin, inisiatif dan sasaran kementerian melalui Kraftangan Malaysia untuk melebar luas latihan kemahiran kraf khususnya kepada belia dan beliawanis di Sarawak dapat dicapai,” katanya dalam ucapan perasmian.


Tambah Nancy yang juga MP Batang Sadong, Kampus Satelit tersebut akan memberi peluang kepada semua kaum atau etnik di negeri ini untuk mendapat pendidikan dan kemahiran yang lebih baik serta berkualiti.

Ujar beliau, fokus Rancangan Malaysia ke-12 adalah untuk memperkasa agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia.

Ia membantu meningkatkan ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan menerusi penyediaan akses dan peluang pendidikan bagi pembangunan modal insan.

“Justeru, Kampus Satelit Sarawak ini adalah antara bukti “walk the talk” Kerajaan terhadap pelaksanaan program khusus pendidikan kemahiran secara in-situ ke arah meningkatkan sosioekonomi pelbagai etnik di Sarawak.

“Saya berharap anak-anak muda di negeri ini memanfaatkan peluang yang disediakan,” katanya.

Menurut Nancy lagi, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang ditawarkan ialah Kraf Tenunan Songket dan Dastar – Tahap 3 bertempat di Kampus Satelit IKN Sarawak di Kuching.

Manakala kemahiran Tenunan Pua Tahap 3 bertempat di Kampus Satelit IKN di Betong.

“Sijil ini ditawarkan kepada belia dan beliawanis berumur 18 hingga 35 tahun yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran kraf,” ujar beliau.

Kampus Satelit IKN Sarawak tambah Nancy menempatkan seramai 13 orang pelajar.

Daripada jumlah itu, 7 orang pelajar sedang mengikuti latihan SKM Tenunan Songket dan Dastar di Kuching dan 6 orang sedang mengikuti latihan SKM Tenunan Pua di Betong.

Kraf Malaysia mensasarkan unjuran pengambilan pelajar di Kampus IKN, Sarawak bagi tahun 2021 hingga 2025 adalah seramai 204 orang. ― DayakDaily