KUCHING, 20 Julai: Parti Bumi Kenyalang (PBK) meminta kontraktor dan pengurusan bagi projek Rumah Dayak di Jalan Satok supaya bekerjasama menyiapkan sepenuhnya projek terbabit di Jalan Satok, di sini.
Presiden PBK Voon Lee Shan berkata ini kerana Rumah Dayak adalah simbol masyarakat Dayak dan juga Sarawak tetapi beliau tidak tahu mengapa projek terbabit sudah berpuluh tahun pembinaannya namun masih juga belum disiapkan sepenuhnya sehingga kini.
“Saya berharap pihak yang melaksanaannya (projek Rumah Dayak) samada pihak pengurusan dan kontraktor supaya bekerjasama mengatasi hal ini,” katanya dalam kenyataannya bersama Timbalan Presiden PBK Peli Aron dan Naib Presiden PBK Peter Asut yang disiarkan laman Facebook PBK, hari ini.
Projek Rumah Dayak di Jalan Satok di sini telah dimulakan pada 1997 dengan kos sebanyak RM28.5 juta.
Voon berkata Rumah Dayak perlu disiapkan sepenuhnya supaya bukan sahaja menjadi kebangaan Sarawak dan masyarakat Dayak tetapi juga dapat membuktikan kepada orang dari luar yang mereka dapat mengejar kemajuan.
“Saya berharap semua orang Dayak di Sarawak, bangun dan menyokong kumpulan kami dari PBK, ini supaya kami menjadi kerajaan dan ini (Rumah Dayak) kami dirikan semula,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PBK Peli Aron berkata Rumah Dayak sebelum ini mahu dibina sebagai hotel supaya orang Dayak yang datang dari jauh di luar bandar ke bandar raya ini tidak perlu berbelanja besar menyewa penginapan di hotel lain.
“Satu lagi, Rumah Dayak ini juga akan dijadikan pusat konvensyen bagi menjadi tempat berkumpul masyarakat Dayak di Sarawak dan membincangkan kemajuan dan kekurangan bagi bangsa Dayak,” katanya.
Peli berkata sebelum ini Rumah Dayak ada bangunan lama yang telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek terbabit dan baginya kini keadaan projek terbabit menjadi sesuatu yang mengaibkan.-DayakDaily