Sg Batang Kanan memberi tangkapan lumayan untuk nelayan udang

Wilman (kiri) dan rakannya menunjukkan tangkapan udang ulu yang baru diperolehi dari pukat yang dipasang di Sungai Batang Kanan.

SIMUNJAN, Mac 31: Sungai Batang Kanan dekat Batang Sadong di sini kini menjadi lubuk udang galah kepada penduduk kawasan itu dengan mereka adakalanya mampu menangkap sehingga 60 kilogram udang galah sehari dengan mengunakan pukat.

Sebab inilah Wilman Tawil, 43, dari Kampung Melanjok menjadikan penangkapan udang tersebut yang lebih dikenali penduduk tempatan sebagai udang ulu di sungai itu sebagai punca pendapatannya sejak setahun yang lalu.

“Adakalanya pukat yang saya pasang di sepanjang Sungai Batang Kanan hingga empat atau enam kali berturut-turut penuh dengan udang ulu dan membolehkan tangkapan pada satu hari mudah mencecah 30 hingga 60 kilogram,” katanya.


Wilman berkata hasil tangkapan yang baik adalah disebabkan air Sungai Batang Kanan setakat ini masih belum terjejas dengan sebarang bentuk pencemaran termasuk dari aktiviti perladangan sekitar Simunjan serta kaya dengan pelbagai pelbagai spesis ikan dan udang sungai.

Hasil tangkapan udang ulu dari Sungai Batang Kanan yang sehingga memenuhi bot milik Wilman.

“Tangkapan udang terbabit kemudian akan saya jual di pasar Simunjan yang hanya sekitar 30 minit perjalanan mengunakan bot dari sungai itu. Saya menetapkan harga udang ulu ini mengikut saiz dan grednya antara RM10 sehingga RM32 sekilogram dan biasanya tangkapan saya cepat laris dibeli pelanggan di pasar itu,” katanya.

Menurutnya, ketika ini beliau mampu memperolehi pendapatan sebanyak RM800 sebulan dengan menjual udang ulu di pasar Simunjan dan disamping itu juga menjual udang tersebut secara atas talian mengunakan laman Facebook dengan purata jualan sebanyak 20 kilogram sebulan yang memberikan pendapatan tambahan sekitar sebanyak RM200 sebulan.

“Jadi secara keseluruhannya saya mampu mendapat lebih RM1,000 sebulan sebagai penangkap dan penjual udang ulu di Simunjan dan ketika ini merancang memperluaskan lagi pasaran hasil tangkapan ini secara atas talian,” katanya. — DayakDaily