Lelaki warga emas maut, motosikal rempuh belakang lori

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori di Jambatan Santubong.

KUCHING, Mac 31: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori di Jalan Jambatan Santubong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, mangsa, Awang Sulaiman Awang Drahman, 66, dari Bandar Baru Semariang di sini disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepalanya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda sedang dalam perjalanan menuju ke Santubong.


Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh belakang sebuah lori yang berhenti melakukan kerja-kerja pembersihan di atas jambatan tersebut.

“Kesan perlanggaran itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada kepalanya.

“Petugas perubatan yang tiba di lokasi kemalangan kemudian mengesahkan kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada pemandu lori itu untuk tindakan lanjut.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily